DUNIA semakin canggih dengan pelbagai inovasi yang dihasil kan bagi kepentingan manusia. Namun, dalam kecanggihan kehidupan hari ini, kita tidak terlepas daripada masalah akhlak dan hilangnya nilai murni. Ramai manusia hilang arah dalam membezakan antara perkara yang baik dan jelek serta perkara yang membawa faedah atau padah. Disebabkan manusia berlumba mengejar kehidupan dunia yang jauh dari landasan ditetapkan Allah.
Pembuangan bayi tidak berdosa dilihat semakin meruncing. Namun, segelintir anggota masyarakat belum menyadarinya kebiasaan yang selalu saja menganggap biasa saja. oleh karena itu masyarakat hari ini lebih buruk daripada masyarakat zaman jahiliah.
Perkara yang berkaitan dijelaskan Allah dalam firman-Nya yang bermaksud: “Dan apabila dikhabarkan kepada seseorang dari mereka bahawa dia beroleh anak perempuan, muramlah mukanya sepanjang hari (kerana menanggung dukacita), sedang dia menahan perasaan marahnya dalam hati. Dia bersembunyi daripada orang ramai kerana (berasa malu disebabkan) berita buruk yang disampaikan kepadanya (dia beroleh anak perempuan sambil dia berfikir), adakah dia akan memelihara anak itu dalam keadaan yang hina atau dia akan menanamnya hidup-hidup dalam tanah? Ketahuilah! Sungguh jahat apa yang mereka hukumkan itu.” (Surah al-Nahl, ayat 58-59)
Namun, hari ini, tidak kira anak lelaki atau perempuan, yang lahir kerana dosa ibu bapanya, maka mereka dibunuh dengan kejam serta dinafikan hak menikmati kehidupan. Antara sebab utama berlakunya masalah itu ialah masyarakat sendiri tidak mengambil berat hubungan bebas antara lelaki dan perempuan bukan mahram.
Persepsi masyarakat hari ini menganggap hubungan bebas itu adalah cara hidup baru moden. Setiap hari kita melihat gerak-geri anak muda di tengah-tengah kepesatan bandar, melakukan perkara dilarang Islam. Berpegangan tangan, ber pelukan, malah ada anak muda ini yang tidak segan silu bercumbuan di depan khalayak ramai. Semua itu adalah bibit permulaan dosa zina.
Sesungguhnya Allah mengingatkan kita sentiasa menjauhi perkara yang boleh membawa kepada zina. Firman Allah yang bermaksud: “Dan janganlah kamu mendekati zina, kerana sesungguhnya zina itu adalah fahishah (perbuatan yang keji) dan seburuk-buruk jalan (yang ditempuh oleh seseorang)” (Surah al-Isra’: ayat 32)
Fenomena terbabit sedikit sebanyak boleh diselesaikan jika setiap anggota masyarakat menjalankan tugas masing-masing dalam membanteras gejala keruntuhan moral itu.
Pihak berkuasa pula seharusnya perlu sentiasa mengingatkan golongan muda agar sentiasa menjaga tingkah laku mereka khususnya di khalayak umum. Sikap ‘tidak mengapa’, ‘bukan keluarga kita’, ‘itu hal dia’ perlu dibuang kerana setiap individu Muslim bertanggungjawab mengajak melakukan amal makruf dan mencegah yang mungkar. Peranan berkenaan menjadi lebih efektif jika ia mendapat sambutan pihak media. Media cetak atau elektronik seharusnya berganding bahu menyelesaikan masalah itu.
Ibu bapa berperanan besar memberi perhatian kepada anak di bawah jagaan mereka. Mereka perlu lebih bijak daripada anak-anak di mana mereka perlu kenal siapa yang berkawan dengan anaknya.
Sejak awal lagi Islam memberi garis panduan kepada ibu bapa iaitu melakukan pemisahan tempat tidur antara anak lelaki dan perempuan.
Didikan awal berkenaan dengan memberi panduan bahawa lelaki tidak boleh bercampur dengan perempuan sebebas-bebasnya, walaupun dalam kalangan adik-beradik. Sabda Rasulullah yang bermaksud: “Perintahlah anak-anak kamu bersolat pada usia tujuh tahun. Pukullah mereka jika mereka meninggalkan solat pada usia 10 tahun dan pisahkanlah tempat tidur mereka”. (Hadis riwayat Ahmad)
Contoh lain, Islam memberi penerangan yang jelas bahawa lelaki dan perempuan itu tidak boleh bercampur secara bebas ialah ketika keadaan saf wanita yang hampir dengan saf lelaki ketika solat berjemaah. Sabda Rasulullah yang bermaksud: “Sebaik-baik saf lelaki adalah yang paling hadapan dan yang paling buruk adalah yang paling belakang. Dan sebaik-baik saf bagi wanita adalah yang paling belakang, yang terburuk bagi mereka adalah yang paling depan.” (Hadis riwayat Muslim)
Begitulah indahnya Islam yang tetap menitik-beratkan hubungan antara lelaki dan perempuan, meskipun dalam suasana yang baik (dalam masjid).
Bukan setakat menjaga hubungan antara lelaki dan perempuan saja, malah Islam turut menekankan perlunya menjaga batasan hubungan antara kaum sejenis. Sabda Rasulullah yang bermaksud: “Tidak boleh seorang lelaki memandang aurat lelaki lain dan tidak boleh seorang wanita memandang aurat wanita yang lain, dan tidak boleh seorang lelaki bersama dengan lelaki lain dalam satu kain (selimut) dan tidak boleh seorang perempuan bersama dengan wanita lain dalam satu kain (selimut).” (hadis Riwayat Muslim)
Sesungguhnya, dosa zina itu adalah besar. Sarjana Islam sepakat bahawa dosa zina adalah antara dosa-dosa besar (al-kaba’ir). Ibnu ‘Abbas pernah berkata bahawa: “Dicabut cahaya (nur) keimanan di dalam zina.” (Riwayat Bukhari dalam kitab Fath al-Bari)
Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Ada tiga golongan (manusia) yang Allah tidak akan berbicara kepada mereka pada hari Kiamat dan tidak mensucikan mereka dan tidak melihat kepada mereka, dan bagi mereka seksa yang sangat pedih, iaitu; orang tua yang berzina, raja yang pendusta (pembohong) dan orang miskin yang sombong.” (Hadis riwayat Muslim)
Bagi menjaga kelangsungan identiti umat Islam pada masa akan datang, pencegahan peringkat awal dengan cara yang ditetapkan Islam, adalah lebih baik daripada pemulihan pada peringkat yang tidak dapat dibendung lagi. Walau bagaimanapun, anak yang lahir daripada dosa zina adalah tidak berdosa sama sekali. Sesungguhnya, setiap anak Adam itu tidak sesekali mewarisi dosa kedua orang tuanya.
No comments:
Post a Comment